KUCHING: Tiga karya seni awam yang dihasilkan sempena Fiesta Pelancongan, Seni dan Budaya di Simunjan, sebuah pekan kira-kira 85km dari sini baru-baru ini akan dimasukkan dalam laman web Jejak Seni Sarawak Balai Seni Negara.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad dalam kenyataan berkata karya-karya ini terdiri dari instalasi payung gegantung, arca udang galah dan lukisan 3D yang kesemuanya terletak di Padang Central Simunjan, dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Karya seni awam payung gegantung ini telah diolah oleh seorang artis yang berpengalaman bagi memastikan ia tidak bersifat komersial tetapi mudah difahami dan lebih artistik,” katanya.
Payung gegantung yang menonjolkan warna-warna hitam, kuning dan merah yang melambangkan bendera Sarawak itu diolah untuk memenuhi trend terkini bagi mempromosi Simunjan dan sebagai tarikan untuk orang ramai berswafoto.
Arca udang galah berketinggian kira-kira 2.7 meter itu pula dibina menggunakan bahan kitar semula seperti logam terbuang, plastik dan botol kaca yang diperoleh di sekitar Simunjan dan Sadong Jaya.
Amerrudin berkata penggunaan bahan kitar semula ini bertujuan untuk mendidik masyarakat agar lebih prihatin terhadap alam sekitar dengan menonjolkan barangan terbuang untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna dan lebih berharga.
Menurutnya objek udang galah dipilih kerana Simunjan memang dikenali ramai kerana udang galahnya yang banyak diperoleh dari Sungai Batang Sadong dan sering dikaitkan dengan makanan yang berasaskan udang galah.
“Apa yang menarik adalah pengarca yang kami lantik adalah seorang jurukimpal yang berbakat dan mampu membuat karya sebegini dan kami juga telah mengangkat dan melahirkan pengarca baru dalam kalangan anak tempatan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelukis berpengalaman dari Semenanjung Malaysia telah dibawa untuk berkongsi pengalamannya dengan pelukis-pelukis tempatan untuk menghasilkan lukisan 3D di siar kaki Padang Central Simunjan.
Pemilihan subjek dan konsep lukisan ini adalah berdasarkan identiti, sejarah dan keunikan budaya asli Simunjan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha Balai Seni Negara untuk menyokong aktiviti MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dengan pengisian aktiviti kesenian (supaya) anak tempatan dapat menghasilkan karya seni,” tambah Amerrudin.-Bernama