KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap Chegu Bard, atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, berhubung kenyataan beliau yang didakwa berbaur hasutan berkaitan kereta kurniaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar) berkata kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 itu turut dibuka terhadap Muhammad Zahid Md Arip, yang juga bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan ini dan kedua-dua individu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang baharu Datuk Khaw Kok Chin daripada Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam yang baharu Mohd Kamarudin daripada Datuk Seri Hazani Ghazali di sini.

Mengenai notis merah terhadap menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, Razarudin berkata pihaknya telah menghantar maklumat tambahan seperti yang diminta oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

“Kini polis hanya menunggu maklum balas lanjut daripada pihak Interpol berhubung notis merah berkenaan,“ katanya.

Mengulas penggunaan kamera badan oleh anggota polis di lapangan, beliau berkata pihaknya menjangka menerima perkakasan itu pada Oktober ini.

“Diharapkan dengan penerimaan 7,648 unit kamera badan ini sekurang-kurangnya dapat menghindar tohmahan terhadap warga PDRM selain menjadikan pegawai dan anggota kita lebih bertanggungjawab,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image