GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, di sini, mendakwa pembukaan kebun-kebun sayur di kawasan berkenaan menyebabkan berlakunya pencemaran Sungai Belatop yang menjadi sumber utama bekalan air mentah penduduk.

Lebih 3,000 masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut kini mengharapkan pihak yang bertanggungjawab untuk tampil memulihkan kualiti air sungai tersebut demi kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Mereka mendakwa kini terpaksa bergantung kepada air tadahan dari bukit sebagai sumber air minuman selepas sungai tersebut tercemar teruk.

Seorang penduduk Along Ronggeng, 59, berkata air sungai tersebut bertukar menjadi kotor susulan sisa baja dan hakisan tanah yang dipercayai mengalir ke sungai terbabit.

“Dulu sungai ini bersih dan jadi sumber minuman penduduk, ikan pun banyak, tetapi sekarang manusia yang merubah keadaan sungai ini kerana duit dan kepentingan.

“Warna air sungai pun dah jadi seperti teh susu,“ katanya ketika kepada pemberita di sini, hari ini.

Penghulu Kampung Pos Brooke, Rian Bujang berkata permasalahan berkenaan berlaku lebih 20 tahun yang lalu dan berharap pihak terbabit cakna akan penderitaan yang terpaksa dilalui penduduk Orang Asli di kawasan penempatan terbabit.

“Masalah pencemaran ni saya rasa sudah berlaku lebih 20 atau 30 tahun dipercayai berpunca dari aktiviti perladangan dan penerokaan tanah.

“Saya harap pihak bertanggungjawab tolonglah cukup-cukuplah ambil banyak tanah, teroka dan sebagainya, saya rasa hasil tidak ke mana pun (berbaloi),” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan Gua Musang Zaharizam Johny berkata tiada sebarang aduan rasmi diterima pihaknya berkenaan hal tersebut.

“Walau bagaimanapun pemantauan dibuat dari semasa ke semasa, sekiranya terdapat aktiviti yang menyebabkan pencemaran sungai, pihak kami tidak akan berkompromi dan segera mengambil tindakan,” katanya. -Bernama