KUALA LUMPUR: Langkah membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan kerajaan semalam terus menerima reaksi positif apabila ia turut disentuh ramai perwakilan pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini.

Kebanyakan mereka yang mengalu-alukan langkah itu yang disifatkan sebagai langkah bijak, berkata tindakan itu mampu membantu kelangsungan hidup pencarum yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Serai Zarina Abdul Majid berkata pengumuman itu memaparkan keprihatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap keluh kesah rakyat.

“Perdana menteri sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan pengumuman pengeluaran khas RM10,000 KWSP itu adalah ditunggu-tunggu.

Terima kasih kerana mendengar rintihan rakyat yang ketika ini berdepan kesan banjir dan yang bersedih akibat hilang ahli keluarga dan kerja dek (kerana) pandemik Covid-19,“ katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Wanita Umno di sini hari ini.

Perdana Menteri dalam sidang media khas semalam mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Ismail Sabri berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Naib Ketua Puteri Umno Pahang Salmiah Ab Rahman ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri, menyifatkan langkah membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 sebagai jalan tengah dalam mengimbangi keperluan mendesak rakyat.

“Bagi seluruh ahli Puteri Umno, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pengumuman pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

“Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri kerana sentiasa mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak. Puteri Pahang amat menghargai keprihatinan ini,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Ketua Puteri Umno Bahagian Kota Melaka Nur Farhana Abdul Ghani yang berkata pengumuman itu ibarat hadiah Perdana Menteri atas kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini.

Setiausaha Pemuda Umno Kedah Hayazi Azizan pula dalam sidang media selepas membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda berkata pengumuman itu memberi kelegaan buat ramai pihak selain menyeru pencarum menggunakan kemudahan itu dengan sebaiknya.

Wakil Pemuda Umno Melaka, Mohd Noor Helmy Abdul Halim yang berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar keluhan rakyat menyifatkan kebenaran itu umpama hadiah hari raya untuk golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda Umno Selangor Datuk Noorazley Yahya berkata meskipun langkah itu baik, kerajaan juga perlu memikirkan langkah bagi menjaga kebajikan pencarum khususnya mereka berpendapatan rendah

“Misalnya, kerajaan boleh memperkenal insentif bagi caruman sukarela, untuk menggalakkan pencarum menabung semula di dalam akaun KWSP apabila kehidupan mereka kembali stabil kelak,” katanya.

Permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April ini dengan tarikh akhir permohonan adalah pada 30 April manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image