KUANTAN: Polis Kontinjen Pahang hari ini melupuskan sebanyak 4,401,934 batang rokok tidak bercukai pelbagai jenis yang dirampas dalam tempoh lapan tahun sejak 2015 dengan nilai cukai kastam yang dianggarkan lebih RM2.8 juta.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (gambar) berkata pelupusan berkenaan melibatkan 16 kes dengan 17 tangkapan yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu kesemua kes telah selesai menjalani prosiding mahkamah.

Katanya barang kes kontraban yang dimusnahkan ini merupakan hasil kejayaan operasi yang telah dirancang dan dijalankan antaranya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Pahang di Daerah Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut dan Cameron Highlands.

“Barang kes ini juga dilupuskan setelah mendapat perintah daripada mahkamah dan kelulusan daripada pihak kastam,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula, sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 membabitkan tangkapan secara “red handed” (ketika melakukan jenayah) seramai 36 individu, yang mana kira-kira RM292, 224.10 jumlah nilai kerugian cukai negara telah dapat diselamatkan, katanya.

Sementara itu, Ramli turut memaklumkan pihaknya akan melupuskan 14 jenis dadah membabitkan 1,888 item yang dirampas bagi tempoh 2016 hingga 2021 dengan anggaran keseluruhan pasaran dadah bernilai RM420,724.34.

Beliau berkata pelupusan itu akan dilaksanakan oleh kontraktor bertauliah dan profesional di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan esok.

Antara dadah yang akan dilupuskan ialah heroin seberat 5,556.21 gram (g), methamphetamine (1,620. 21 g), kanabis (1,132.20 g), ketamin (18.92 g), yaba (105.48 g) dan air ketum (2,717.23 liter).

Selain itu, beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept lepas seramai 9,500 individu telah ditahan melibatkan pelbagai kesalahan dadah manakala nilai rampasan dadah bagi tempoh yang sama direkodkan lebih RM31.3 juta.

Ditanya mengenai dakwaan yang disebarkan sebuah akaun media sosial mengenai terdapat pusat panggilan “Macau Scam” yang mula bertapak di kawasan pedalaman di Pahang, Ramli berkata pihaknya sentiasa menjalankan risikan dalam membanteras kegiatan berkenaan.

“Kita sentiasa aktif dalam risikan dan mengalu-alukan apa sahaja maklumat berkenaan kegiatan tersebut, saya minta kerjasama orang ramai kalau ada pusat itu tolong bagi tahu.

Buat aduan kepada polis kerana kami berada di setiap tempat, paling tidak pondok polis pun ada, jangan ragu-ragu untuk sampaikan maklumat dan sentiasa memberi kepercayaan kepada kami bahawa polis akan mengambil tindakan, “ katanya.-Bernama