Your Title

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang telah memilih jajaran yang terbaik bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang seperti yang dicadangkan oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan dua minggu lepas untuk mengesahkan persetujuan negeri terhadap jajaran yang dicadangkan itu.

“Kami telah memilih jajaran yang hampir sama dengan jajaran asal, jajaran yang dipilih hanya berbeza sedikit sahaja, jajaran yang dicadangkan oleh MRT Corp itu adalah jajaran terbaik untuk kesinambungan jajaran lain pada masa depan.

“Jajaran yang dipilih oleh kerajaan negeri bermula dari Pulau Silikon dan menghubungkan Penang Sentral ke kawasan Macallum di George Town,“ katanya pada sidang media Seminar dan Ekspo Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PGIGCE 2024) di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata semua keputusan penting berkaitan projek LRT itu telah dibuat dan ketika ini di peringkat tender terbuka.

Pada 29 Mac lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dengan MRT Corp dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset.

Perolehan projek terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu untuk kerja-kerja pembinaan sivil bagi Segmen 1 iaitu jajaran Pulau Silikon ke Komtar; kerja-kerja untuk pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari Komtar ke Penang Sentral dan kontrak ‘turnkey’ kerja-kerja sistem dan gerabak secara bina-selenggara-pindah (BMT).

Dalam perkembangan lain, Chow berkata cadangan berkaitan kajian semula sistem agihan cukai kepada negeri dengan Kerajaan Pusat memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang kepada negeri itu, tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

Beliau berkata maklum balas berkaitan cadangan itu diperoleh menerusi pertemuan beliau dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini.

‘’Menteri Kewangan berterus terang bahawa ketika ini ada kekangan fiskal negara, maka beliau maklumkan ada mekanisme lain selain pengagihan semula hasil cukai, iaitu melalui pemberian geran-geran untuk tujuan khusus kepada negeri,“ katanya.

Chow berkata menerusi pertemuan itu juga, Amir Hamzah memaklumkan bahawa projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua bernilai RM1.8 bilion kini berada dalam senarai perbincangan utama Kerajaan Pusat dan masih belum mengetahui sama ada ia akan dijalankan kerajaan negeri atau Persekutuan.

PGIGCE 2024 anjuran Penang Green Agency yang berlangsung dari 16 hingga 17 Nov ini di Pusat Konvensyen Setia SPICE dekat sini, merupakan platform bertujuan untuk mengumpulkan pihak berkepentingan utama, pemimpin dan golongan pakar dari seluruh dunia dalam empat bidang utama iaitu teknologi hijau, kewangan hijau, pembinaan kapasiti dan inisiatif sifar bersih.