LHDN ingatkan bayaran duti setem wajib untuk dokumen perjanjian, elak implikasi undang-undang dan kewangan serius.
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menegaskan bahawa bayaran duti setem tidak seharusnya diabaikan ketika membuat sebarang perjanjian.
Kegagalan membayar duti setem boleh memberi implikasi serius dari sudut undang-undang dan kewangan.
Pengarah Bahagian Konsultasi Operasi dan Audit, Jabatan Operasi Setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) LHDN Nor Habibah Hamidon berkata penyeteman amat penting untuk transaksi rasmi.
“Dokumen mungkin tidak diterima dalam urusan transaksi rasmi tanpa proses penyeteman,” katanya dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio.
Beliau menjelaskan duti dikenakan ke atas surat cara itu sendiri, bukan atas transaksi yang berlaku.
Surat cara merujuk kepada dokumen bertulis yang biasanya mempunyai implikasi undang-undang, komersial atau kewangan.
Duti setem ini dikenakan berdasarkan Akta Setem 1949, dengan pihak bertanggungjawab tersenarai di bawah Jadual 3 akta sama.
LHDN memperkenalkan sistem dalam talian Stamp Assessment and Payment Systems (STAMPS) untuk taksiran duti setem secara elektronik.
Sistem ini menjadikan proses penyeteman lebih cepat dan teratur melalui laman web https://stamp.hasil.gov.my.
Terdapat dua kaedah pembayaran duti setem iaitu Finance Process Exchange (FPX) dan Virtual Account (VA).
Kedua-dua kaedah boleh dibuat menggunakan perbankan internet atau di kaunter bank.
Pembayaran boleh dibuat melalui Telegraphic Transfer (TT), Interbank Transfer Giro (IBG), Electronic Fund Transfer (EFT), atau Rentas.
Jika pembayar merasakan taksiran tidak tepat, mereka boleh membuat rayuan untuk semakan semula taksiran.
Mengenai Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS), ia akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
Sistem ini membolehkan pembayar duti membuat taksiran dan pembayaran secara sendiri melalui portal MyTax.
Pembayar perlu mempunyai Nombor Pengenalan Cukai (TIN) dan log masuk ke MyTax untuk menggunakan sistem ini.
Proses termasuk memuat naik surat cara, melengkapkan borang permohonan STSDS, membuat taksiran dan bayar dalam tempoh ditetapkan.
Rekod perlu disimpan selama tujuh tahun selepas pembayaran.
Sistem ini akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan jenis surat cara tanpa perlu menunggu Notis Taksiran.
Nor Habibah mengambil contoh negara seperti Singapura, Hong Kong, United Kingdom dan Australia yang berjaya dengan Sistem Taksir Sendiri. – Bernama






