Keluarga tiga lelaki yang ditembak mati polis di Durian Tunggal hadir ke Bukit Aman untuk rakaman kenyataan dan serah telefon rakaman audio.
KUALA LUMPUR: Keluarga tiga individu yang ditembak mati polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu hadir ke Bukit Aman hari ini bagi dirakam kenyataan.
Keluarga itu dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 10:45 pagi.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga berkata seorang ahli keluarga turut membawa telefon bimbit yang digunakan untuk merakam audio insiden berkenaan.
Telefon itu akan diserahkan kepada pasukan penyiasat khas yang telah ditubuhkan.
Pada 24 November lepas, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis.
Kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal pada pukul 4.30 pagi itu menyebabkan seorang koperal polis cedera parah pada lengan kirinya.
Kesemua suspek daripada kumpulan yang didakwa sebagai ‘Geng Durian Tunggal’ itu didakwa dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis.
Mereka didakwa aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor.
Kerugian yang dilaporkan daripada jenayah-jenayah itu mencecah RM1.35 juta.
Bagaimanapun pada 3 Disember lepas, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Susulan itu pada 4 Disember, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar mengumumkan penubuhan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tersebut. – Bernama







