Penganalisis politik kata kestabilan politik dan jaminan kesinambungan pembangunan faktor utama kemenangan BN dalam PRK Kinabatangan dan Lamag
KINABATANGAN: Kestabilan politik serta jaminan kesinambungan pembangunan dikenal pasti sebagai faktor utama kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Pensyarah Universiti Malaysia Sabah Dr Haryati Abdul Karim berkata kedudukan BN dalam Kerajaan Perpaduan Sabah meningkatkan keyakinan pengundi terhadap kemampuan parti itu.
Beliau menekankan faktor itu penting bagi memastikan kesinambungan dasar dan pelaksanaan pembangunan di kawasan luar bandar.
“BN berada dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadi pilihan rakyat, sekali gus memberikan kelebihan untuk meraih kemenangan,” katanya.
Haryati berkata pendekatan calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob berjaya menarik perhatian pengundi.
Menurutnya, kedua-duanya tampil dengan idea baharu, berprofil sederhana dan aktif menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.
“Isyarat yang cuba disampaikan pengundi ialah mereka mahukan pemimpin yang merendah diri dan sering menyantuni rakyat,” katanya.
Pensyarah UiTM Sabah Tony Paridi Bagang turut berpendapat kemenangan BN didorong terutamanya oleh naratif kestabilan politik.
“Kedudukan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri menjadi elemen utama yang mengukuhkan kestabilan politik,” katanya.
Beliau berkata kesepaduan parti dalam Kerajaan Perpaduan Sabah memberi kelebihan kepada jentera BN bergerak lebih tersusun dan berkesan.
“Gabungan kekuatan jentera BN, sokongan rakan kerajaan serta kedudukan BN mewujudkan persepsi kestabilan politik yang kuat,” katanya.
Tony Paridi menambah faktor emosi berkaitan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin juga masih memainkan peranan.
Keputusan PRK menyaksikan Mohd Kurniawan Naim mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 14,214 undi.
Mohd Ismail pula menang di kerusi DUN Lamag dengan majoriti 5,681 undi, menewaskan pencabar dari Warisan.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar pada 5 Disember lepas.








