Wednesday, October 29, 2025
26.8 C
Malaysia
spot_img

Lapan syarikat bas dan lori di Melaka digantung lesen pengendali

The Sun Webdesk

JPJ Melaka gantung lesen lapan syarikat pengendali bas dan lori gagal patuhi audit JISA, 45 syarikat gagal daripada 73 yang diaudit.

MELAKA: Sebanyak lapan syarikat pengendali bas dan lori di Melaka digantung lesen pengendali masing-masing selepas gagal mematuhi syarat audit Sistem Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan sepanjang tahun ini.

Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata tindakan itu hasil penguatkuasaan dan pengauditan di bawah Seksyen 230 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Daripada 73 syarikat yang diaudit, sebanyak 45 syarikat didapati gagal, manakala 28 syarikat lulus dan lapan daripadanya dikenakan tindakan gantung lesen pengendali,” katanya selepas program Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak di Dewan Tun Fatimah, Bukit Katil.

Beliau menjelaskan audit JISA dilaksanakan melalui empat kategori iaitu Audit Kemalangan Jalan Raya, Audit Berkala dan Bersasar, Audit Susulan serta Audit Aduan.

Siti Zarina menekankan pengauditan JISA bertujuan memastikan syarikat pengendali mematuhi aspek keselamatan serta pengurusan operasi kenderaan perdagangan dan awam.

Syarikat pengendali diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori bagi mengelakkan penggantungan atau pembatalan lesen oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Antara perkara mandatori termasuk melantik pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, memasang serta memantau sistem GPS pada semua kenderaan semasa operasi.

Syarikat juga perlu memastikan tempoh pemanduan tidak melebihi lapan jam sehari dengan rehat sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan.

Mereka wajib menyediakan pelan tindakan keselamatan serta memaparkan nombor hotline syarikat pada kenderaan bagi tujuan aduan.

Siti Zarina berkata JPJ Melaka akan terus mempergiat pengauditan dan pemantauan terhadap syarikat pengendali bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, kutipan hasil pada sesi Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Bil. 2/2025 berjumlah RM103,489 membabitkan 52 kenderaan dengan penyertaan 54 pembida.

Antara kenderaan yang dilelong ialah 40 motosikal, lapan kereta, dua van bertingkap, satu lori rigid kargo am dan satu semi treler.

Sebuah kereta Daihatsu Copen mencatatkan bidaan tertinggi iaitu RM25,000, manakala motosikal Honda mencatatkan bidaan terendah sebanyak RM150. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Arrow Electronics Supports EMASS in Driving Ultra-Low-Power Edge AI Technology with ECS-DoT SoC

Arrow Electronics and EMASS — a global provider of technology solutions, and an edge-AI-focused-semiconductor developer, respectively — have announced a collaboration to accelerate the deployment of ultra-low-power edge AI solutions across wearables, industrial IoT and smart sensing devices, using EMASS's ECS-DoT System on Chip (SoC).
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img