the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Malaysia mahu tingkat kerjasama ekonomi, pelaburan dengan Jepun

BANGI: Malaysia berhasrat meningkatkan lagi kerjasama ekonomi, pelaburan serta perdagangan dengan Jepun bersempena dengan penyertaannya pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

Anwar, yang akan berlepas ke Tokyo hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak itu yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Dis berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida sempena sidang kemuncak itu, dan penganjuran Sidang Kemuncak itu dilihat bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun.

“Perbincangan tentu (untuk) tingkat kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan dengan negara Jepun,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2015, Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, perdagangan dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (US$4.21 bilion), menyumbang 6.4 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun 2023, sejumlah 2,778 projek syarikat-syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan sejumlah RM91.89 bilion (US$27.43 bilion).

Bertemakan “Golden Friendship, Golden Opportunities”, sidang kemuncak itu memberikan peluang mengimbau kembali kerjasama semenjak 50 tahun yang lepas, di samping merangka perjalanan untuk masa depan selain memastikan ASEAN dan Jepun terus maju bersama dalam dekad seterusnya.

Sementara itu ditanya adakah beliau telah memberi arahan tertentu kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara, Anwar berkata Dzulkefly telah diminta memantau keadaan walaupun ketika ini peningkatannya tidak serius.

“Dia (Dzulkefly) telah pantau (peningkatan kes) walaupun kesannya tidak serius, tetapi minta orang waspada dari sudut kesihatan. Jaga kesihatan,” katanya.

Kes Covid-19 dalam negara dilaporkan meningkat kepada 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Dis lepas berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk pesakit yang disyaki Covid-19 ke fasiliti kesihatan meningkat 1.4 peratus berbanding minggu sebelumnya serta pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat 1.4 peratus. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings