Menteri Hannah Yeoh tekankan input persatuan penduduk penting untuk keputusan tadbir urus bandar, khususnya mitigasi banjir di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Pandangan yang dikemukakan persatuan penduduk menjadi input penting dalam membentuk keputusan serta tadbir urus bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata semua maklum balas akan diteliti dengan cermat bagi memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.
“Input ini juga akan menjadi panduan dalam menetapkan keutamaan tadbir urus bandar pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hannah berkata beliau turut akan menjemput para profesional dan pakar bagi menyumbangkan pandangan yang menyokong perancangan serta pelaksanaan yang berkesan.
Beliau memaklumkan telah mengadakan pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) yang mewakili lebih 80 persatuan penduduk dari seluruh ibu negara.
Antara fokus utama perbincangan adalah isu mitigasi banjir termasuk perlindungan dan pemeliharaan kolam takungan yang memainkan peranan penting dalam pengurusan banjir di Kuala Lumpur.
“Saya turut berkongsi keutamaan saya dalam memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan banjir serta memastikan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.








