Selangor FC lonjak ke tangga ketiga Liga Super 2025/2026 selepas kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya
SELANGOR FC melonjak ke kedudukan ketiga Liga Super 2025/2026 selepas membenam Melaka FC 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Noor Al-Rawabdeh membuka jaringan pada minit kedua dengan memanfaatkan kekalutan di kubu pertahanan Melaka FC.
Derita pelawat bertambah lapan minit kemudian apabila Alvin Fortes menyempurnakan hantaran Mohamad Faisal Halim sebelum melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti.
Al-Rawabdeh sekali lagi mencuri tumpuan sebagai arkitek gol ketiga selepas hantarannya disudahkan Chrigor Flores Moraes pada minit ke-13.
Kedudukan 3-0 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama walaupun Selangor terus menguasai permainan.
Pasukan kendalian Christophe Gamel gagal menambah jaringan biarpun mencipta beberapa peluang berbahaya pada babak kedua.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengumpul 25 mata, berkongsi mata dengan Kuala Lumpur City FC (KL City).
Kelebihan perbezaan jaringan membolehkan Selangor memintas KL City yang turun ke kedudukan keempat liga.








