SUBANG JAYA: Seramai 38 individu termasuk pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan warga asing ditahan polis dalam satu operasi membongkar parti liar di sebuah kediaman mewah di sini, semalam. Operasi itu dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada jam 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis turut merampas 6.5 gram dadah disyaki ganja dan 1.7 gram ketamin dalam serbuan tersebut. “Kesemua ditahan berumur antara 18 hingga 27 tahun termasuk 13 warga asing dengan empat daripadanya berusia antara 21 hingga 25 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah,“ katanya dalam kenyataan.
Hasil saringan air kencing mendapati 12 individu positif dadah, terdiri daripada sembilan warga tempatan dan tiga warga asing. Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut, manakala yang lain dibebaskan.
Wan Azlan menggesa orang ramai terus memberikan maklumat berkaitan aktiviti jenayah, terutamanya penyalahgunaan dadah dan penganjuran parti persendirian haram. “Kerjasama masyarakat penting dalam membanteras gejala ini,“ katanya -Bernama