• 2025-07-18 09:44 AM

NIBONG TEBAL: Polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan kejadian pukul seorang lelaki di Seberang Perai Selatan. Video kejadian itu tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi dua minit lima saat yang dimuat naik di TikTok. Video itu memaparkan seorang lelaki dipukul dan dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh tiga individu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 7.16 malam semalam dan dipercayai berpunca daripada dakwaan kecurian barang kemas melibatkan mangsa.

“Dalam rakaman itu, tiga lelaki dilihat memukul mangsa di bahagian kepala dan badan tanpa menggunakan sebarang senjata sebelum memaksanya masuk ke dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mangsa telah menerima rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan di muka serta kepala. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Jay January berkata lelaki itu juga ditangkap untuk siasatan bagi satu kes curi dan kini direman selama empat hari hingga 20 Julai.