CHINA sedang membawa isu kebajikan haiwan ke tahap yang lebih mantap dengan pelancaran gim haiwan peliharaan khusus pertamanya, Gogogym, yang direka khas untuk anjing.

Menurut South China Morning Post, gim tersebut akan menampilkan kolam renang, treadmill, dan jurulatih kecergasan profesional untuk membantu anjing kekal sihat dan aktif.

Gogogym, sebuah pusat kecergasan anjing di Shanghai yang dicipta oleh jenama Heal Petcare yang berpangkalan di Singapura, baru-baru ini tular selepas menyiarkan video anjing berlari di atas treadmill.

Gim tersebut dijangka akan dibuka secara rasmi menjelang akhir Jun, dengan gim tersebut juga sedang dalam percubaan untuk empat bahagian utamanya: zon kecergasan, bahagian spa dan pemulihan, bilik urut, dan ruangan barangan haiwan peliharaan.

Kakitangan gim tersebut turut mengatakan misi mereka itu adalah untuk menjaga haiwan peliharaan supaya tampak lebih sihat dan bertenaga dengan menggalakkan senaman yang teratur sebagai cara untuk mencegah penyakit.

Bagi memastikan setiap anjing menerima penjagaan terbaik, jurulatih profesional akan bersedia untuk merancang rutin senaman peribadi yang disesuaikan dengan keperluan individu.

Gim ini sedang mengambil pekerja jurulatih dan ahli terapi kecergasan haiwan peliharaan yang bertauliah, dengan keutamaan diberikan kepada calon yang berpengalaman dalam pemulihan anjing atau penjagaan veterinar.

Dengan lebih 120 juta haiwan peliharaan, industri haiwan peliharaan China beralih daripada penjagaan asas kepada kesejahteraan dan kecergasan.

Berdasarkan maklumat, perbelanjaan dalam sektor itu mencecah 300 bilion yuan (RM178.63 bilion) pada tahun lepas.