the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, July 4, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sukan Sea Pekak 2025: Malaysia sasar 16 pingat emas di Jakarta

KUALA LUMPUR: Malaysia selaku juara bertahan bakal membawa kontinjen kedua terbesar ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia dari 20 hingga 26 Ogos ini, dengan misi memburu 16 pingat emas, sekali gus mempertahankan gelaran yang diraih pada edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2022.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn berkata sasaran itu merangkumi enam emas menerusi olahraga, lima (tenpin boling), dua (badminton), dua (catur) serta satu (futsal lelaki).

“… untuk temasya SEA Pekak 2025 di Jakarta ini, kami berharap kerajaan boleh menilai untuk memberikan insentif wang kemenangan kepada pemain sama seperti atlet normal terutamanya sempena dengan Hari Merdeka sekiranya atlet kita bawa pulang pingat buat Malaysia.

“Atlet kita memang pernah menerima ganjaran contohnya di Deaflympics sebelum ini, namun duit itu dipanggil sebagai sagu hati (token) dan bukannya insentif,” katanya menerusi bantuan jurubahasa isyarat selepas sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shin Ruenn berkata beliau berharap suatu hari nanti komuniti pekak di negara ini mempunyai sebuah bangunan khas yang dilengkapi kemudahan latihan berpusat.

Beliau percaya kewujudan pusat latihan sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi atlet, malah menjadi simbol sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan komuniti pekak di Malaysia.

Terdahulu, sebanyak 80 atlet menggalas cabaran negara kali ini iaitu hanya 20 orang kurang berbanding kontinjen terbesar, Indonesia selaku tuan rumah yang membawa 100 atlet.

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia merangkumi 53 atlet dan 27 pegawai yang akan berentap dalam enam acara sukan iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan ping pong.

Sementara itu, Naib Presiden MSDeaf Sarkunan Balakrisnan yang dilantik sebagai Ketua Kontinjen berkata ia adalah penghormatan besar apabila diberi kepercayaan memikul tanggungjawab itu.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berbekalkan semangat dan motivasi tinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menghargai kemampuan komuniti pekak.

“Bagi saya pencabar terdekat ialah tuan rumah, Indonesia. Namun dengan segala persediaan, kami pasti boleh melakukan,” katanya.

Sementara itu, atlet kelahiran Perlis yang juga pemenang pingat emas pada Sukan SEA Pekak 2022 dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya itu – BERNAMA

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

The VinFast VF 8 and the New Priorities of EV Ownership

DUBAI, UAE - Media OutReach Newswire - 3 July 2026 - Today's EV buyers are looking beyond range and horsepower. They want an ownership experience that is just as reassuring as the vehicle itself, and that is where the VinFast VF 8 makes a strong case.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings