Mayat kru bot yang hilang selepas insiden bot bertembung di Semporna ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat
SEMPORNA: Mayat seorang kru bot penumpang yang hilang dalam insiden dua bot bertembung berhampiran Jeti Pelancongan Semporna ditemui hari ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan mayat Rosman Kandau, 24, dijumpai pada 8.37 pagi di perairan Kampung Terusan Baru.
Lokasi penemuan adalah 3.4 batu nautika tenggara dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
Ahli keluarga mangsa berada di lokasi bagi pengecaman dan mengesahkan identiti lelaki itu.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 9 pagi.
Insiden berlaku pada Jumaat lepas apabila bot penumpang yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah bot penumpang lain.
Lokasi kejadian adalah 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancongan Semporna.
Seorang lelaki dilaporkan hilang manakala empat lagi cedera dalam insiden itu.
Hari ini merupakan hari ketiga misi pencarian membabitkan aset laut daripada pelbagai agensi.
Agensi terlibat termasuk APMM, polis, tentera, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.








