Tayar belakang lori meletup dan terpelanting, menimpa kereta di Lebuhraya SKVE dekat Sepang. Tiada kecederaan dilaporkan, kes disiasat
SEPANG: Tayar belakang kiri sebuah lori jongket dipercayai meletup dan terpelanting sebelum menimpa sebuah kereta di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata kejadian pada pukul 8 malam itu berlaku ketika lori itu dalam perjalanan dari Kajang ke Puchong.
“Hasil siasatan awal mendapati tayar lori itu terpelanting ke bawah jejambat dan menimpa bumbung bahagian belakang sebuah kereta Proton Satria Neo berwarna hitam,” katanya.
Beliau menegaskan kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan hanya menyebabkan kerosakan pada kenderaan.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang menerima laporan berhubung kejadian itu sejurus selepas kemalangan berlaku.
Kedua-dua pemandu yang berusia lingkungan 20-an dan 30-an telah tampil ke IPD Sepang untuk membuat laporan polis.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Sakela Ramli di talian 019-558 8221 atau 03-8777 4264.









