Sultan Nazrin Shah menitah kerajaan persekutuan dan negeri laksanakan rumusan MKI bersungguh-sungguh, elak ia jadi dokumen bertulis sahaja.
KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melaksanakan tindakan susulan terhadap segala ketetapan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) dengan bersungguh-sungguh.
Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah kerajaan dan agensi berkaitan wajib memberi perhatian serta menghormati perkara yang telah dirumuskan MKI.
Titah baginda, ketetapan yang dicapai itu wajib dihargai supaya MKI tidak dianggap sekadar forum untuk berbincang tanpa tindakan.
“Yang lebih penting ialah tindakan susulan atas segala saranan dan rumusan, supaya saranan dan rumusan tidak tinggal sebagai dokumen bertulis yang menghadapi nasib tenggelam dalam timbunan kertas,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah pelaksanaan bersungguh-sungguh akan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan imej baik kepada kerajaan.
Ia juga akan meningkatkan penghormatan terhadap Islam dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam.
Titah baginda disampaikan pada Mesyuarat MKI Ke-74 di ibu negara hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Menteri Hal Ehwal Agama Dr Zulkifli Hasan dan Timbalannya Marhamah Rosli.
Sultan Nazrin bertitah baginda berusaha memenuhi peranan sebagai pengerusi dengan bantuan ahli, urus setia dan lima jawatankuasa MKI.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada setiap ahli MKI dan kakitangan urus setia.
Sultan Nazrin juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar atas sumbangannya.
Mesyuarat turut mengucapkan tahniah kepada Dr Zulkifli dan Marhamah atas pelantikan baharu mereka.








