the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, January 28, 2026
26.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

KKM perkukuh saringan di pintu masuk antarabangsa susulan wabak Nipah di India

KKM tingkatkan saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa dan pemantauan berterusan susulan wabak penyakit Nipah di West Bengal, India

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa, khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko ekoran situasi wabak penyakit Nipah di West Bengal, India.

Pengawasan berterusan akan dipertingkatkan, termasuk pemantauan rapi di lapangan serta pengukuhan kapasiti makmal negara bagi memastikan pengesanan awal dapat dilaksanakan.

Kesiapsiagaan fasiliti kesihatan turut dipertingkatkan selaras dengan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan, merangkumi amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC).

Kerjasama rentas sektor dan antara agensi akan terus diperkukuh bagi melindungi kesihatan awam serta mencegah sebarang risiko kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.

“Walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang kes penyakit Nipah sejak 1999, KKM kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain,” menurut kenyataan KKM.

Pemantauan berterusan juga dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia melalui pendekatan One Health.

“Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar,” menurut kenyataan itu.

Orang awam khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit atau pengambilan produk yang disyaki tercemar.

“Pengembara dari kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat,” menurut kenyataan KKM.

Penyakit Nipah wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tiada kes baharu penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia sehingga kini susulan kejayaan membendung wabak penyakit berkenaan sejak September 1999.

Penyakit Nipah ialah penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV) dengan keluang (flying foxes/ fruit bats) sebagai perumah semula jadi (natural reservoir).

Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah, dan rembesan, pengambilan makanan yang telah tercemar, dan kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

Gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan, dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga ke 14 hari.

“Komplikasi penyakit ini termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75%,” menurut kenyataan itu. 

Related

spot_img

Latest

Experience Elevated Luxury at The Ritz-Carlton, Hong Kong

From private museum tours and hands-on cultural workshops to tea alchemy, rooftop mixology, and elevated wellness rituals, The Ritz-Carlton, Hong Kong unveils a series of curated experiences designed to connect guests with the city’s culture, creativity, and tranquility—at the highest hotel in the world.

Most Viewed

Experience Elevated Luxury at The Ritz-Carlton, Hong Kong

From private museum tours and hands-on cultural workshops to tea alchemy, rooftop mixology, and elevated wellness rituals, The Ritz-Carlton, Hong Kong unveils a series of curated experiences designed to connect guests with the city’s culture, creativity, and tranquility—at the highest hotel in the world.
spot_img

Popular Categories