the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, January 30, 2026
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Malaysia sambung rangkaian rel Thailand ke Rantau Panjang

Malaysia bersedia hidupkan semula sambungan kereta api ke Sungai Golok, Thailand, bagi perkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi dua hala.

KOTA BHARU: Malaysia bersedia menghidupkan semula sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang ke Sungai Golok, Thailand. Menteri Pengangkutan Anthony Loke (gambar) berkata langkah itu bagi memperkukuh hubungan pengangkutan serta ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Loke berkata langkah itu termasuk penyambungan semula Koridor Rantau Panjang menerusi laluan rel antara Pasir Mas dengan Rantau Panjang. Projek ini melibatkan baik pulih landasan bagi membolehkan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad beroperasi sehingga kawasan sempadan.

Beliau berkata projek berkenaan akan dilaksanakan kementeriannya sebagai sebahagian daripada perancangan jangka sederhana negara. “Malaysia turut mengalu-alukan hasrat Thailand untuk menyambung rangkaian rel mereka sehingga Rantau Panjang,” katanya.

Loke memaklumkan beberapa pertukaran kerajaan di Thailand sejak setahun lepas telah menjejaskan kesinambungan perbincangan. “Saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Thailand sebelum ini dan banyak perkara telah diputuskan, bagaimanapun berlaku pertukaran menteri,” katanya.

Beliau berkata perbincangan lanjut dijangka dapat diteruskan selepas pembentukan kerajaan baharu Thailand. Loke memaklumkan pengendali kereta api negara itu, State Railway of Thailand, secara amnya menunjukkan minat untuk menyambung rangkaian rel ke Koridor Rantau Panjang.

“Kerajaan Malaysia memang bersedia dan berharap projek sambungan ini dapat dilaksanakan semula,” katanya. Loke berkata projek itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan kini berada pada peringkat penyediaan dokumen tender.

“Tender akan dipanggil tidak lama lagi dan tempoh pelaksanaan projek dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun,” katanya. Projek naik taraf laluan kereta api Pasir Mas–Rantau Panjang dijangka mula dilaksanakan tahun ini dengan kos keseluruhan RM264 juta.

Projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan 1 RMK13 bagi 2026 dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi. Proses perolehan dijangka bermula pada suku pertama tahun ini.

Pelaksanaan projek berkenaan bertujuan mengaktifkan semula laluan itu bagi perkhidmatan tren penumpang dan kargo. Ia sekali gus memperkukuh hubungan rel rentas sempadan Malaysia–Thailand melalui sambungan ke Sungai Golok.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories