the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, June 27, 2026
29 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Abang sulung lelaki serang BP Ulu Tiram didakwa beri sokongan, miliki bahan berkaitan Daesh

KUALA LUMPUR: Abang sulung lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Radin Romyullah Radin Imran, 34, seorang penghantar makanan membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim K.Muniandy, yang kemudiannya menetapkan 15 Nov ini untuk pengurusan kes.

Dalam pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung tahun 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Radin Romyullah juga didakwa memiliki satu external hard disc yang mengandungi bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan perlakuan perbuatan kumpulan itu di lokasi sama pada 10.45 pagi, 17 Mei dan 2.30 petang, 19 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan berkata Radin Romyullah akan dibicarakan bersama tertuduh lain yang sebelum ini dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Tinggi di sini di hadapan hakim berbeza.

“Pihak pendakwaan berhasrat untuk menjalankan perbicaraan bersama dan permohonan rasmi akan dibuat,” katanya.

Peguam Arief Firdaus Ashikin yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Pada 30 Sept, ibu tertuduh Rosna Jantan, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Dalam serangan di balai polis itu 17 Mei, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings