KUALA LUMPUR: Dua penjawat awam termasuk seorang Setiausaha Bahagian sebuah kementerian bergelar Datuk direman, bagi membantu siasatan kes menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM400,000.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan SPRM, mengeluarkan reman empat hari terhadap pegawai kanan berusia 50-an manakala, seorang lagi individu berusia 30-an direman sehingga esok.
“SPRM turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga penjawat awam tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya ketika dihubungi.
Sumber berkata individu bergelar Datuk itu yang bertanggungjawab mengawal selia sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan ditahan lewat malam tadi, manakala dua yang lain merupakan pegawai khas dan pemandu beliau dan kesemuanya ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan sebuah program untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.
“Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan tersebut dan mengeluarkan wang peruntukan tersebut secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudiannya digunakan untuk keperluan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.








