PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang mengenal pasti pihak yang terlibat menyebarkan berita palsu mengenai dakwaan penutupan sekolah pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata aduan telah dibuat kepada MCMC bagi menjalankan siasatan terhadap perkara itu.
“MCMC akan mengenal pasti mereka yang terlibat dalam menghasilkan dan menyebar berita palsu ini.”
“Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara tersebut,” katanya pada sidang media mingguan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati dengan kandungan media sosial.
Beliau meminta orang ramai sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat yang diterima melalui media arus perdana.
Fahmi menegaskan penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media sebelum ini melaporkan Mohd Na’im menafikan dakwaan berkenaan penutupan sekolah pondok.
Mohd Na’im berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi sokongan penuh kepada institusi pendidikan Islam termasuk sekolah pondok, madrasah dan tahfiz.
Beliau menyifatkan tindakan penyebaran tuduhan itu sebagai tidak berasas terutamanya melibatkan isu sensitif seperti institusi agama.
Mohd Na’im menegaskan tindakan sebegini boleh mengancam keharmonian masyarakat. – Bernama







