MELAKA: Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini belum boleh dijadikan ukuran untuk menyimpulkan rakyat sudah kembali menyokong UMNO, kata Naib Presiden parti Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata ini kerana DUN Nenggiri cuma mewakili satu daripada keseluruhan 45 kerusi DUN yang ada di negeri Kelantan.
“Menang satu kerusi tidak semestinya melambangkan bahawa keseluruhan negeri Kelantan yang mempunyai 45 DUN telah kita berjaya ‘kawal’, itu tidak betul, tetapi itu satu petanda untuk kita terus berusaha dan kemenangan satu kerusi itu juga sebenarnya bukti kalau kita semua bersatu padu dalam satu parti, insya-Allah kemenangan akan sampai,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2024 di Banda Hilir di sini hari ini.
PRK DUN Nenggiri Sabtu lepas menyaksikan kemenangan calon BN yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri selepas meraih 9,091 undi menewaskan Mohd Rizwadi Ismail yang memperoleh 5,739 undi.









