BUTTERWORTH: Sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dengan melawan arus di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini melarikan diri daripada ditahan polis dalam operasi pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, pihak polis telah menjalankan operasi samseng jalanan bagi membanteras kegiatan terbabit di kawasan berkenaan.
“Pihak polis telah terkesan satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial Facebook pemilik akaun Penang Press semalam yang memaparkan penunggang motosikal telah menunggang secara berbahaya dengan melawan arus di BORR menghala ke Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).
“Hasil siasatan mendapati ia berpunca daripada operasi dijalankan pihak polis dalam membanteras kegiatan samseng jalanan di kawasan itu dan sekumpulan penunggang motosikal melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis telah menahan seorang penunggang motosikal kerana menunggang secara melulu dan berbahaya serta menyita 25 motosikal kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.
Polis menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar tidak bertindak sedemikian kerana ia akan mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi 0.38 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara melawan arus di BORR.









