Makan Malam Gala ASEAN ke-47 di KLCC serikan persembahan seni tiga orkestra dan artis ternama sebagai simbol perpaduan serantau.
KUALA LUMPUR: Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini bukan sekadar acara rasmi untuk meraikan pemimpin serantau.
Acara itu dilihat sebagai simbol diplomasi budaya yang menzahirkan semangat keterangkuman dan perpaduan dalam keluarga ASEAN.
Dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, majlis bakal dihadiri pemimpin tertinggi ASEAN dan rakan dialog antarabangsa.
Makan malam yang berkonsepkan kepelbagaian budaya serantau akan diserikan dengan persembahan seni oleh artis ternama tanah air seperti Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir dan Dayang Nurfaizah.
Pengarah kreatif malam gala itu Mohd Azli Othman berkata persembahan dibahagikan kepada beberapa segmen dan akan bermula dengan persembahan kanak-kanak.
Beliau menyatakan setiap persembahan mengetengahkan keunikan budaya dan identiti negara anggota ASEAN, diiringi persembahan visual oleh artis lukisan pasir dari Pulau Pinang, Bernice Wong yang akan menggambarkan monumen ikonik serantau sambil diiringi alunan muzik orkestra.
Keunikan persembahan turut diserlahkan dengan tiga entiti orkestra iaitu Orkestra Tradisional Malaysia, Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Malaysian Philharmonic Orchestra yang bakal bergabung di satu pentas yang sama buat julung kalinya.
Persembahan diterajui Istana Budaya sebagai penyelaras utama bersama jawatankuasa penganjur Sidang Kemuncak ASEAN.
Selepas berdepan pelbagai cabaran dalam membangunkan konsep persembahan itu sejak tahun lepas, Mohd Azli berharap persembahan malam ini bukan sekadar hiburan tetapi juga menjadi wadah penyatuan budaya dan simbol perpaduan ASEAN berpaksikan keharmonian serta saling menghormati.
Beliau menambah di penghujung acara memperlihatkan semua peserta dari Malaysia dan negara anggota ASEAN bergabung menyanyikan satu lagu sebagai simbol perpaduan serantau. – Bernama










