the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, June 27, 2026
22.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Peruntukan RM68.28 juta untuk projek cegah banjir, hakisan di Sabah – Hajiji

TUARAN: Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan sebanyak RM68.28 juta tahun ini untuk melaksanakan projek menangani dan mencegah banjir, program penstabilan dan pencegahan hakisan tebing sungai dan pantai di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek pencegahan banjir dan hakisan itu akan dilaksanakan di pelbagai lokasi di seluruh Sabah, terutamanya kawasan berisiko banjir.

“Usaha itu merupakan keutamaan kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa,” katanya berucap merasmikan majlis pecah tanah bagi projek kerja-kerja mengukuhkan tebing Sungai Tuaran di sini hari ini.

Mengulas mengenai projek itu, beliau berkata ia merupakan usaha kerajaan untuk pencegahan hakisan tebing sungai, bagi memastikan fungsi sungai itu sebagai saliran dan takungan banjir dikekalkan.

Katanya projek itu yang dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, mampu menghalang fenomena hakisan tebing pada masa akan datang.

Hajiji berkata projek di tebing Sungai Tuaran itu unik kerana ia bukan dihanya untuk mengukuhkan tebing sungai, malah turut mengambil kira keperluan untuk mengindahkan persekitaran Sungai Tuaran di sini.

Katanya pengindahan sungai itu akan memberi manfaat lain khususnya untuk membolehkan aktiviti rekreasi seperti riadah, joging, memancing, lokasi penganjuran aktiviti disamping dijadikan tempat baharu kunjungan awam di Pekan Tuaran.

“Justeru, saya mahu Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah selaku agensi pelaksana dapat menyiapkan projek ini dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata di beberapa tempat di Sabah, sungai masih lagi digunakan sebagai jalan penghubung utama bagi masyarakat untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

“Justeru, projek yang kita lancarkan amat penting sebagai wadah berkaitan kepentingan sungai serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya mengekalkan fungsi sungai,” katanya. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings