the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 24, 2026
32 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Ops Pantau 2024: KPDN catat nilai rampasan lebih RM400,000 sepanjang 12 hari

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM414,319.07 atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Pantau 2024 di bazar Ramadan dan Aidilfitri yang dijalankan di seluruh negara sejak 12 Mac sehingga Sabtu lepas.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata rampasan tersebut dilakukan daripada 84 kes yang dihasilkan atas kesalahan seperti tidak meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang-barang tiruan.

“Sepanjang tempoh tersebut, 20,854 premis telah diperiksa di seluruh negara termasuk 685 pemeriksaan di Bazar Aidilfitri di seluruh negara sejak Ops Pantau ini dilancarkan.

“Selain itu, kita juga menerima sebanyak 623 aduan daripada pengguna dalam tempoh yang sama melibatkan pelbagai kategori aduan,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2024 di Bazar Aidilfitiri, di sini, malam tadi.

Beliau berkata seramai 2,200 pegawai penguat kuasa digerakkan di seluruh negara bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang musim perayaan ini.

Menurutnya selain bazar Ramadan dan Aidilfitiri, penguatkuasaan juga dijalankan secara berfokus di seluruh negara di lokasi tumpuan seperti pasar raya dan kedai runcit termasuk penjualan secara dalam talian.

Azman mengingatkan para peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang ditetapkan kerajaan terutamanya sepanjang musim perayaan ini bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

“Pengguna juga dinasihatkan berjimat-cermat dan rancang perbelanjaan bagi elak dimanipulasi segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Sementara itu, sepanjang tempoh itu juga beliau berkata aduan paling banyak diterima adalah dari pengguna Selangor, Kuala Lumpur dan Johor, manakala kesalahan paling banyak dikesan di Sabah, Perak dan Pulau Pinang.

Pada masa yang sama, Azman turut menasihatkan pengguna melaporkan terus kepada KPDN menerusi pelbagai saluran disediakan sebelum menularkan sesuatu kesalahan yang dilakukan peniaga.

“Kalau boleh jangan tularkan dulu, sebab kadang-kadang banyak kes yang kami dapati kalau tularkan dulu, sukar untuk jalankan siasatan sebab kebanyakan bukti sudah dihapuskan,“ katanya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Netvigator wins Six Ookla® Speedtest® awards again

HKT's Netvigator has once again secured six Ookla Speedtest awards in the first half of 2026, reaffirming its leadership in fixed broadband performance. The provider also earned its first recognition as Hong Kong's Most Consistent Fixed Network while continuing to expand its F5G-A Super Broadband network.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings