Perjanjian ART Malaysia-AS jangka tingkat kemasukan teknologi digital dari AS termasuk AI, keselamatan siber dan kandungan digital.
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital menjangkakan peningkatan kemasukan teknologi dan produk digital dari Amerika Syarikat ke pasaran tempatan susulan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS baru-baru ini.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata kemasukan teknologi dan produk digital ini akan merangkumi perkhidmatan awan, perisian keselamatan siber, kecerdasan buatan, kandungan digital dan cip elektronik.
Beliau menyatakan ini dijangka dapat meningkatkan persaingan pasaran dan seterusnya menawarkan harga lebih kompetitif serta akses yang lebih luas kepada pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana.
“Secara keseluruhannya, perjanjian tersebut merupakan peluang untuk merancakkan ekosistem digital Malaysia dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Wilson berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari berhubung implikasi pemeteraian perjanjian ART terhadap dasar dan kedaulatan perdagangan digital negara.
Beliau menegaskan kerajaan akan memperhalusi potensi implikasi perjanjian ART terhadap pemain industri digital dan memastikan persaingan yang wujud tidak akan mengekang pembangunan syarikat teknologi tempatan.
“Oleh itu, Kementerian Digital serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia akan memastikan program pemerkasaan industri dan ekosistem digital tempatan terus dipertingkatkan,” katanya. – Bernama










