the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, June 24, 2026
21 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Hanipah, Vazeer alam angkat sumpah jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera hari ini mengangkat sumpah jawatan serta taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Hanipah, 64, dan Vazeer Alam, 62, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini.

Hanipah, anak kelahiran Besut, Terengganu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 27 April 2018 dan pernah mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuah projek solar hibrid.

Beliau juga mengetuai panel tiga hakim dalam rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas selain mendengar rayuan kes-kes jenayah.

Vazeer Alam, yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos 2019, pula mengetuai panel tiga hakim bagi rayuan kes rasuah bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.

Turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah tiga Pesuruhjaya Kehakiman iaitu Su Tiang Joo, 64, serta Alexander Siew How Wai dan Amelati Parnell, kedua-duanya berusia 57 tahun.

Su mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Akhtar Tahir manakala Siew dan Amelati mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Su, yang dilahirkan di Muar, Johor dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada 1 Sept 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Feb 2023.

Siew, anak kelahiran Sandakan, Sabah pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak pada 10 Julai 2020.

Beliau telah membuat keputusan bersejarah berhubung pelaksanaan Undi18 selepas membenarkan semakan kehakiman lima belia yang memohon agar pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dikuatkuasakan segera.

Sementara itu, Amelati yang merupakan anak kelahiran Sarawak memulakan kerjaya sebagai Majistret di Kuching pada 1990 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Sibu, Sarawak pada 2007.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah pada 2021 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Bintulu, Sarawak pada 1 Jan 2024. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Politics not key factor for foreign investors, says MITI

Malaysia’s investment performance shows political speculation is not the main driver for foreign investors, says MITI, citing RM1.7 trillion in approved investments from 2021 to 2025.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings