the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Zahid: Kerajaan lulus RM50 juta luaskan lorong khas bas, beli van DRT

PUTRAJAYA: Kerajaan telah meluluskan dan menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan perluasan lorong khas bas termasuk pembelian 100 unit van transit atas permintaan (DRT) di Lembah Klang bermula September tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) berkata kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan Lorong Khas Bas Prasarana di Jalan Ampang dan Genting Klang sejak 3 Julai lepas menunjukkan respons yang menggalakkan dari segi penjimatan masa.

“Data menunjukkan berlaku penjimatan masa sehingga 18 minit bagi perjalanan bas di lokasi (destinasi-kee-destinasi) dan atas penjimatan tersebut berlaku penambahan jumlah penumpang secara harian sebanyak 20 hingga 45 peratus.

Justeru, dengan keberkesanan pengurangan masa perjalanan tersebut, peningkatan kekerapan bas dan jumlah penumpang harian, mesyuarat JKMKJR memutuskan untuk mengekalkan laluan khas bas Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasca mesyuarat JKMKJR Bil1/2024 hari ini.

Mesyuarat turut bersetuju memperluaskan laluan bas khas ke Jalan Klang Lama bermula Jun 2024, dan melaksanakan kajian bagi pelaksanaan lorong bas di Jalan Cheras (Taman Connaught – Jalan Pudu) serta Lebuhraya Persekutuan (Pusat Bandar Kuala Lumpur – Persimpangan Shah Alam).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata mesyuarat telah memutuskan untuk melaksanakan sistem penyuraian baharu secara berperingkat untuk lokasi kritikal kesesakan, yang akan dilaksanakan setelah mendapatkan makluman daripada pihak polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata kerajaan juga telah melaksanakan laluan kontra bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak dan hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 88 peratus pengguna lebuh raya yang ditemui bersetuju bahawa laluan kontra berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“(Justeru) Mesyuarat bersetuju untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan langkah pengoperasian bagi mengelak isu seperti insiden kemalangan hasil pemasangan kon dan penambahan pencahayaan ketika waktu hujan dan gelap,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan meneliti cadangan supaya projek pembangunan mengguna pakai konsep berasaskan “Transit Oriented Development” (TOD) sebagai langkah jangka masa panjang mengurangkan kesesakan jalan raya, khususnya di kawasan pembangunan dan pengoperasian stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Mengenai data berkaitan keselamatan jalan raya, beliau berkata Malaysia telah mencatatkan jumlah kematian berkaitan lalu lintas sebanyak 6,443 orang pada tahun lepas dengan purata 18 kematian sehari dan daripada jumlah tersebut, 4,480 kematian melibatkan pengguna motosikal.

Mesyuarat JKMKJR antara lain turut membincangkan cadangan lain seperti penyuraian trafik Johor Bahru yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Johor dan bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 7.4 kilometer dan penambahan 175 kemudahan hentian bas oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang tahun 2024 di kawasan Lembah Klang.

“Saya berharap agar inisiatif ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan bagi memastikan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam negara dapat ditingkatkan, seterusnya mampu menarik rakyat untuk beralih kepada penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memenuhi keperluan mobiliti. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Hong Kong Disneyland Continues to Enhance Guest Experience Through Flexible Weather Adaptation Measures

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire - 23 July 2026 - As Hong Kong's summer weather becomes increasingly unpredictable, with periods of extreme heat, high humidity, and occasional rain showers and thunderstorms, Hong Kong Disneyland Resort (HKDL) continues to enhance its facilities and operations to better support guests and cast members throughout the season.

Nanyang Optical Co. Pte Ltd (In Liquidation) Announces Tender Sale of Optical Inventory Located...

SHENZHEN, CHINA - Media OutReach Newswire - 23 July 2026 - Nanyang Optical Co. Pte Ltd (In Liquidation) is inviting expressions of interest from optical retailers, distributors, wholesalers, exporters, and trade buyers for the acquisition of its inventory through a tender sale process.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings