SEPANG: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand Winston Peters tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja empat hari ke Malaysia.
Pesawat komersial yang membawa Peters dan delegasinya mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.30 petang dan disambut oleh Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Mohd Aini Atan.
Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia Pam Dunn.
Lawatan Peters dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Semasa lawatan ke negara ini, Peters akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadakan Mesyuarat Menteri Luar yang julung kali diadakan di bawah Perkongsian Strategik New Zealand-Malaysia.
Malaysia dan New Zealand menjalinkan hubungan diplomatik pada 25 Sept 1957 dan sejak itu hubungan dua hala mereka kekal kukuh dan stabil.
Malaysia secara konsisten menerima peningkatan jumlah pelancong dari New Zealand setiap tahun dengan 18,238 warga negara itu melawat Malaysia pada tahun 2022. Selain itu, lebih 17,000 rakyat Malaysia menetap di New Zealand.
Di rantau Pasifik, Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar New Zealand dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.42 bilion) setakat Jun 2023.
Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh Malaysia dan New Zealand bersama-sama Australia, United Kingdom dan Singapura merupakan satu daripada peraturan pertahanan paling lama beroperasi di dunia.









