the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 1, 2026
30.2 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Individu tak mampu beri sumbangan kepada organisasi tidak akan dilantik: Ahmad Zahid

BUTTERWORTH: Kerajaan Perpaduan tidak akan melantik mana-mana individu yang tidak berupaya memberi sumbangan kepada organisasi atau agensi kerajaan yang diketuainya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata semua lantikan adalah berdasarkan garis panduan Kabinet serta mengikut nasihat Perdana Menteri.

“Jangan dilihat hanya kerana seseorang itu memegang jawatan politik khususnya Ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri)… ia harus dilihat dari segi latar belakang dan juga kelulusan serta pengalaman seseorang itu,“ katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pelantikan ahli politik bagi memegang jawatan dalam agensi dan organisasi kerajaan.

Mengulas mengenai pelantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ahmad Zahid berkata ia dibuat berdasarkan kepakaran, pengalaman dan kelulusan beliau.

Beliau berkata Asyraf Wajdi bukan hanya seorang ahli politik tetapi juga adalah pegawai bank yang memiliki kepakaran dalam perbankan Islam.

“Rugi kalau ada pengalaman dan kelulusan begitu tetapi kita tidak gunakan untuk sama-sama membangunkan MARA.

“Diharapkan dengan pelantikan itu, beliau dan semua warga KKDW dapat bersama-sama membangunkan MARA,“ katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut mengesahkan pelantikan Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Datuk Dr Shaik Hussein Mydin sebagai Pengerusi PERDA.

Asyraf Wajdi merupakan Setiausaha Agung Umno manakala Noraini adalah Ketua Wanita Umno.

Isu lantikan politik dalam agensi kerajaan timbul selepas Asyraff Wajdi dilantik sebagai Pengerusi MARA, Datuk Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) manakala Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Malacca Strait feels spillover pressure as Red Sea, Hormuz crises reroute global shipping

The Strait of Malacca remains central to Malaysian shipping and Asian trade because it connects the economies of the East and West, with about US$7 trillion (RM28.5 trillion) in trade value passing through the waterway.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings