Wednesday, October 29, 2025
31.4 C
Malaysia
spot_img

Agihan makanan gelandangan di KL perlu patuh peraturan DBKL

Bernama

Menteri Wilayah Persekutuan gesa semua pihak daftar dengan DBKL sebelum agih makanan kepada gelandangan bagi elak masalah kebersihan.

KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk individu dan pempengaruh diminta mematuhi peraturan ditetapkan sebelum mengadakan aktiviti agihan makanan kepada golongan gelandangan di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata setiap pihak yang terlibat perlu berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan aktiviti bantuan dijalankan secara teratur, selamat dan tidak menimbulkan masalah kebersihan.

Beliau menjelaskan masalah timbul apabila terdapat lebihan pengagihan makanan kepada gelandangan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau penyumbang persendirian yang dilakukan di luar kawasan atau tidak mengikut jadual DBKL.

“Makanan ini dibazirkan serta dibuang begitu sahaja dan sebenarnya sekarang ini ramai gelandangan yang kita jumpa memilih makanan sebab terlalu banyak yang memberi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Dr Zaliha menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai langkah penyelarasan antara pihak berkuasa tempatan, NGO dan agensi kebajikan bagi memastikan aktiviti agihan makanan kepada golongan gelandangan dilaksanakan dengan teratur.

Beliau menegaskan terdapat juga pempengaruh yang sekadar membuat kandungan di media sosial bagi aktiviti itu dan tidak mengikuti peraturan ditetapkan yang akhirnya memberi masalah kepada pihak autoriti khususnya DBKL.

Bagi mengekalkan keseimbangan antara nilai ihsan sosial dan kebersihan bandar, DBKL telah menetapkan tiga lokasi pengagihan utama yang dibenarkan.

Lokasi tersebut ialah Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku sebagai pusat agihan makanan harian dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur atau Anjung Kembar.

“Aktiviti agihan makanan di ketiga-tiga lokasi ini dilaksanakan dengan kerjasama NGO yang berdaftar dengan DBKL dan Yayasan Kebajikan Negara,” katanya.

Sehingga kini terdapat lapan NGO yang berkolaborasi dengan DBKL manakala 14 NGO dengan Yayasan Kebajikan Negara.

Pemilihan lokasi pengagihan juga perlu dibuat dengan teliti dan tidak dijalankan di kawasan tumpuan pelancong seperti Segi Tiga Emas Kuala Lumpur bagi menjaga imej bandar raya.

Dr Zaliha memberi amaran DBKL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas dan sewajarnya terhadap pihak yang engkar peraturan sehingga mencemarkan Kuala Lumpur.

Beliau turut menyarankan DBKL memperhalusi pelaksanaan dasar yang hanya membenarkan pengagihan makanan kepada golongan gelandangan dalam bentuk pek retort bagi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan lebih terjamin.

Langkah itu diyakini dapat mengurangkan risiko pembaziran makanan yang mudah rosak serta memastikan sumbangan disalurkan dengan lebih teratur dan berkesan.

Inisiatif Outreach Mobile Centre akan diperkenalkan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran makanan semasa musim perayaan.

“Kita ada masalah contohnya kita dah tentukan tempat pengagihan tetapi mereka tidak hantar ke sana, maka kita akan memperkenalkan Outreach Centre ataupun Mobile Centre di kawasan-kawasan tumpuan,” katanya.

Langkah berkenaan diharap dapat menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada hotel, syarikat korporat dan NGO bagi memastikan makanan berlebihan dimanfaatkan golongan memerlukan dengan lebih teratur dan selamat. – Bernama

BACA: Premis makanan gagal patuhi standard tandas BMW tidak boleh perbaharui lesen 2026

Related

spot_img

Latest

Arrow Electronics Supports EMASS in Driving Ultra-Low-Power Edge AI Technology with ECS-DoT SoC

Arrow Electronics and EMASS — a global provider of technology solutions, and an edge-AI-focused-semiconductor developer, respectively — have announced a collaboration to accelerate the deployment of ultra-low-power edge AI solutions across wearables, industrial IoT and smart sensing devices, using EMASS's ECS-DoT System on Chip (SoC).

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img