KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga pengundi meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk mengundi pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dua kematian berlaku di Johor manakala satu di Kelantan.
“Tiga kejadian yang agak mendukacitakan yang mana pengundi ini ada masalah kesihatan dan meninggal dunia masa beratur untuk mengundi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.
Acryl Sani berkata semasa proses pengundian hari ini, terdapat satu insiden terpencil melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun, yang juga pesakit mental, bertindak di luar kawalan dengan merampas sebotol dakwat dan menolak jatuh peti undi di Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Lama, Batang Kali, Selangor.
Mengenai kejadian di Johor, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri dalam kenyataan menjelaskan kedua-duanya adalah warga emas berusia 85 tahun yang meninggal dunia, masing-masing di pusat mengundi Parlimen Sembrong dan Parlimen Pulai, pagi tadi.
Menurut SPR, Sh Juhara Syed Mohamad meninggal dunia pada 9.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru.
“(Pengundi) didapati mengalami kematian mengejut selepas mengundi dan mengalami sesak nafas.
“Pengundi tersebut didapati hadir ke saluran dalam keadaan tidak sihat hasil pemerhatian petugas saluran tetapi ingin meneruskan pengundian,“ menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Tuminah Ambiah pula meninggal dunia secara mengejut pada 10.21 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lit Terk, Kluang.
“Warga emas itu meninggal dunia secara mengejut sebelum mengundi dan kematiannya disahkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di tempat kejadian,” menurut SPR Johor.
Di TUMPAT, seorang ejen tempat undi meninggal dunia sebaik tiba untuk menjalankan tugas di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Jailani Alias, 53 tahun, dikatakan rebah ketika tiba di sekolah itu sebelum 8 pagi.
Beliau berkata selepas diperiksa mangsa disahkan meninggal dunia berkemungkinan akibat serangan jantung dan telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun kita akan menunggu keputusan bedah siasat.
“Mangsa adalah penduduk tempatan di Kampung Pondok Lati dan ini adalah kes pertama melibatkan kematian di pusat mengundi di Kelantan,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Maktab Rendah Sains Mara Tumpat di sini hari ini.
Sementara itu, bagi tempat mengundi yang berlaku pertindihan dengan Pusat Pemindahan Sementara, masih terdapat mangsa banjir seramai 401 orang, melibatkan 115 keluarga.
Beliau berkata polis akan memastikan proses pengundian berjalan lancar dengan kerjasama erat di antara PDRM dengan SPR. – Bernama









