KOTA BHARU: Hampir 1,000 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) kekal ditugaskan mengawal sempadan walaupun banjir berlaku bagi mengelakkan berlakunya penyeludupan.
Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Brig Jen Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee berkata pihaknya telah mempunyai anggota yang terlibat dalam operasi banjir dan bersiap sedia untuk menghadapi bencana itu.
“Kita masih kekalkan anggota yang mengawal di sempadan dan mereka ini tidak terlibat dengan operasi banjir kerana kita tidak mahu penyeludupan berlaku pada musim banjir.
“Malah, mungkin ada penyeludup-penyeludup ini ingat kita tidak bertugas sebab banjir tetapi sebenarnya kita akan terus perketatkan kawalan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di pusat pengundian awal di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini hari ini.
Abu Hasan Assha’ari berkata sekiranya semua jajahan di Kelantan berlaku banjir, sebanyak 300 anggota terlibat dalam operasi itu tetapi jika satu atau dua jajahan sahaja hanya 100 anggota yang akan bertugas. – Bernama









