the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 21, 2026
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Ukur kemampuan, ambil kira kenaikan kos sebelum tunai haji: Idris

BUKIT GANTANG: Bakal jemaah dinasihatkan supaya menilai kemampuan sendiri dan mengambil kira kenaikan kos sebelum menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad (gambar) berkata haruslah menjadi panduan dan ingatan bahawa syarat wajib bagi menunaikan haji mestilah berkemampuan dan tidak membebankan.

“Kita perlu faham konsep menunaikan ibadah dan Allah SWT tidak memaksa jika kita tidak berkemampuan. Jangan sehingga kita bergolok-bergadai dan kehabisan wang simpanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jualan Bergerak Bantu Rakyat di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai kemungkinan peningkatan kos mengerjakan ibadah itu kembali dibincangkan sejurus berakhirnya musim haji tahun ini.

Perkara itu dibayangkan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar bulan lepas yang memaklumkan TH dijangka membincangkan isu kenaikan kos haji musim depan dengan kerajaan.

Awal tahun ini, TH menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632 dan daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980, manakala bukan B40 sebanyak RM12,980.

Mengulas lanjut, Idris berkata sehingga kini, belum ada perbincangan dengan pihak TH berkenaan kenaikan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings