KUALA LUMPUR: Steve Bennett, pakar dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bersedia membantu kerajaan Malaysia untuk menyempurnakan dan meningkatkan lagi kemampuan negara ini dalam bidang AI.
Beliau berkata perkara itu boleh dicapai dengan memulakan projek AI secara kecil-kecilan terlebih dahlu sebelum ia diperluaskan secara berperingkat.
“Banyak kerajaan termasuk Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan AI dalam secara menyeluruh termasuk agensi besar dan kerajaan, tetapi kami melihat mereka berjaya dalam projek seperti projek imigresen, maklumat biometrik atau analisis imej.
“Kami melihat inisiatif itu sebagai titik permulaan yang baik untuk skala AI yang lebih luas,” kata dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Bennett merupakan Pengarah Global dan Amalan Perkhidmatan Kewangan di SAS, peneraju analitik yang diiktiraf dan berpangkalan di AS.
Walaupun teknologi AI memberikan cabaran, kejayaan boleh dicapai dengan memulakan projek yang boleh membuahkan hasil dan memberi keyakinan kepada rakyat, Ia kemudian boleh diperluas di peringkat perusahaan berbanding hanya tertumpu kepada agensi kerajaan.
Beliau berkata AI adalah masalah yang agak besar dalam kerajaan dan penerimaannya dalam kalangan entiti kerajaan kelihatan tidak sekata dan secara amnya ketinggalan berbanding sektor swasta.
“AI menyediakan peluang untuk mengeluarkan banyak kuasa data yang dimiliki kerajaan. Kebanyakan data kerajaan cenderung disimpan dalam bentuk rekod bertulis atau imej video, dan banyak daripada data itu tidak sesuai untuk dianalisis menggunakan kaedah tradisional.
“Jadi, AI memberi peluang untuk menganalisis data kerajaan yang tidak dapat dilakukan secara tradisional,” tambahnya.
Sebelum SAS, Bennett memegang beberapa jawatan sepanjang 12 tahun berkhidmat di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS.
Ditanya mengenai tahap penyempurnaan penggunaan AI dalam sektor kerajaan di Asia Pasifik, Bennett berkata ia dalam proses ke arah lebih sempurna dengan kerajaan menangani projek yang dianggap baik dan seterusnya berusaha memperluas lagi teknologi ini.
Penyelidikan oleh International Data Corp (IDC) menunjukkan bahawa syarikat Asia Pasifik dijangka meningkatkan perbelanjaan untuk sistem AI daripada US$17.6 bilion pada 2022 kepada US$32 bilion pada 2025, pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 25.2 peratus sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaan AI di rantau ini. – Bernama









