the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 23, 2026
21.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

JPNS kesan lambakan pukat hantu di Port Dickson, gugat hidupan marin

PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) mengesan lambakan pukat hantu di dasar laut Tanjung Tuan di sini sehingga memenuhi sekeliling terumbu karang yang berada di perairan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata lambakan pukat hantu itu akan menggugat hidupan marin sekiranya tidak dibendung sekali gus menyebabkan risiko kematian hidupan berkenaan termasuk spesies penyu.

“Pukat hantu itu ditemui penyelam ketika menjalankan aktiviti di dasar laut, ia bukan saja berisiko memerangkap hidupan marin, malah mampu ‘membunuh’ terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan pembiakan ikan.

“Justeru pelbagai pemantauan dilakukan di sekitar perairan selain program dan kempen kesedaran diadakan JPNS bagi mendidik masyarakat untuk menjaga hidupan laut ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pemuliharaan biodiversiti marin di Pantai Tanjung Biru di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah JPNS Doreen Wee Siew Leen.

Bakri berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan di Kawasan Larangan Perikanan yang diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 membabitkan perairan sejauh satu batu nautika dari pantai di sepanjang Tanjung Tuan.

Beliau berkata mereka yang melakukan sebarang penangkapan ikan di perairan ini termasuk memukat, memancing dan mengambil batu karang boleh dikompaun antara RM500 hingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu beliau berkata terdapat tiga kes dikesan melibatkan kecurian terumbu karang dalam tempoh tiga tahun ini dengan individu terlibat telah diberikan amaran bagi kesalahan pertama kali.

Sementara itu, Doreen berkata pelbagai aktiviti dilaksanakan pada program hari ini termasuk menyelam membersihkan terumbu karang dan melepaskan enam penyu jenis agar dan karah serta lima ekor anak ikan ‘yu bodo’ yang bertujuan memulihara biodiversiti marin di perairan itu.

Beliau berkata terdapat 46 spesies karang keras, 10 spesies karang lembut, dan 44 spesies ikan karang di perairan Port Dickson berdasarkan kaji selidik selaman JPNS bersama pakar penyelidik pada 2018.

“Port Dickson terkenal sebagai pusat pelancongan dan lokasi selam yang menarik berikutan adanya kepelbagaian terumbu karang yang cantik dan spesies hidupan marin termasuk tumbuhan akuatik (latok) dan mamalia akuatik, oleh itu penting untuk kita jaga spesies ini untuk generasi akan datang,“ katanya.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

AS Watson Launches brand lab to Turn Retail Scale into a Data-driven Brand Growth...

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire - 22 June 2026 - AS Watson Group has launched AS Watson brand lab, a data-driven brand creation and scaling platform designed to systematically identify, develop, and grow brands across its global retail ecosystem.

Ucore Produces NdPr Oxide and Ships Qualification Samples to Major Rare Earth Magnet Manufacturers

Halifax, Nova Scotia--(Newsfile Corp. - June 22, 2026) - Ucore Rare Metals Inc.(TSXV: UCU) (OTCQX: UURAF) ("Ucore" or the "Company") is pleased to announce that it has produced commercial-grade neodymium-praseodymium ("NdPr") oxide and shipped initial qualification samples to major rare earth permanent magnet manufacturers for technical evaluation.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings