Malaysia dijemput sebagai penyelaras bersama usaha pembinaan semula Gaza dalam persidangan khas di Kaherah hujung bulan ini.
KUALA LUMPUR: Mesir dan Perancis mempelawa Malaysia menjadi penyelaras bersama dalam usaha pembangunan semula Gaza.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelawaan itu diterima daripada rakan sejawatnya dari kedua-dua negara melalui panggilan telefon.
“Jadi saya akan ke sana (Kaherah, Mesir) untuk kita pastikan supaya Malaysia dapat menyumbang, walaupun tidak banyak, menyumbang kepada pembinaan semula Gaza supaya keadaannya dapat dipulihkan walaupun bukan dalam kadar segera,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab celahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang mencadangkan diwujudkan dana khas dalam Belanjawan bagi tujuan pembinaan semula Gaza.
Difahamkan, satu persidangan khas bagi membincangkan pembinaan semula Gaza yang diketuai oleh Perancis dan Mesir akan berlangsung di Kaherah hujung bulan ini.
Perhimpunan Agung PBB pada 12 September lepas meluluskan resolusi menyokong Deklarasi New York yang bertujuan mengiktiraf negara Palestin.
Resolusi itu diluluskan dengan 142 undi menyokong, 10 menentang dan 12 berkecuali.
Mohamad berkata Malaysia bersedia menghantar pasukan tentera bagi menyertai pasukan pengaman ke Gaza dengan syarat mendapat mandat PBB.
“Dengan mandat daripada PBB, Malaysia tidak pernah gagal jika dijemput untuk menganggotai pasukan tentera pengaman, sebab kita tidak boleh menghantar pasukan pengaman tanpa mandat daripada PBB,” katanya. – Bernama









