Unit Forensik PDRM lantik pakar analisis data dari syarikat LGMS dalam pemacu kilat untuk kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Lew.
TENOM: Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melantik pakar untuk menganalisis data daripada syarikat LGMS Berhad yang terdapat dalam pemacu kilat.
Pegawai Penyiasat PDRM Supt Noor Asyikin Shamsuri, 46, memberitahu Mahkamah Majistret pakar tersebut ialah Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Insp Yip Chang Ching.
Noor Asyikin berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew dalam pemeriksaan balas.
Beliau mengakui membuka dan menyemak kandungan dalam pemacu kilat semasa data dipindahkan daripada syarikat LGMS.
Namun, saksi ke-18 itu tidak menyemak keseluruhan data kerana boleh mendapatkan data daripada Yip jika diperlukan.
Noor Asyikin menjelaskan maklumat yang dikehendaki adalah data, gambar dan perbualan berunsur seksual.
Ketika ditanya sama ada Unit Forensik PDRM boleh mendapatkan mesej yang dipadam daripada pengadu, beliau menjawab “sebahagiannya ya”.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap wanita berusia 40-an.
Beliau didakwa membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.
Kes ini didengar di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dengan 18 saksi pendakwaan telah memberi keterangan.
Perbicaraan akan bersambung pada 24 hingga 25 November ini. – Bernama









