Kebakaran hutan seluas 1.2 hektar berlaku di Taman Seri Timah, Balakong dengan 14 anggota bomba dan tiga jentera terlibat dalam operasi pemadaman.
KUALA LUMPUR: Satu kebakaran hutan berlaku di kawasan berbukit Taman Seri Timah, Balakong hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.02 malam.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn dengan 14 anggota digerakkan ke lokasi dan tiba pada 7.25 malam.
Kebakaran melibatkan kawasan hutan di atas bukit dengan anggaran keluasan kira-kira 1.2 hektar.
Tiga jentera digunakan dalam operasi iaitu Fire Rescue Tender, Light Fire Fire Rescue Tender dan satu unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan.
Operasi turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan serta dua pasukan bomba sukarela iaitu PBS Balakong dan PBS Serdang.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan usaha pemadaman masih diteruskan di lokasi,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar. – Bernama









