Mangsa 21 tahun cedera kepala, muka dan tangan akibat kelaran pisau ketika cuba leraikan salah faham rakannya di Jalan Metro Pudu.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera dikelar ketika cuba meleraikan salah faham antara rakannya dan empat lelaki di Jalan Metro Pudu.
Mangsa berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka dan tangan akibat kelaran pisau.
Suspek turut melarikan barangan milik rakan mangsa dalam insiden tersebut.
Empat lelaki tempatan berusia 16 hingga 23 tahun telah ditahan susulan kejadian itu.
Mereka direman tujuh hari bermula Khamis lepas hingga Rabu depan kerana disyaki melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan.
Penahanan suspek dibuat di tiga lokasi berbeza di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan mangsa berjalan dalam keadaan berlumuran darah.
Mangsa cuba dibantu oleh individu lain yang berada di lokasi kejadian. – Bernama









