KPM selesaikan isu kepadatan di SMK Bandar Seri Putra dengan 10 bilik darjah IBS, rancang bangunan dua tingkat tambahan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membina 10 bilik darjah tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, Selangor.
Pembinaan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai penyelesaian jangka pendek dan sederhana terhadap masalah kepadatan murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kaedah IBS telah terbukti efektif dan boleh disiapkan dalam tempoh singkat.
“Pada ketika ini KPM turut merancang pembinaan bangunan tambahan dua tingkat menggunakan kaedah IBS di SMK Bandar Seri Putra,” katanya.
Beliau memaklumkan isu sekolah padat memberi kesan kepada keselesaan dan keberkesanan sesi pembelajaran.
Fadhlina telah meninjau keadaan sekolah dan berbincang dengan pentadbir, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, JKR dan bahagian Pembangunan KPM.
Sementara itu, beliau meminta pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan JPN mengelak budaya ‘kerja hanya kerana isu viral’.
“Mesti pantas dan tangkas. Mesti jelas dan responsif kepada aduan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan agar pihak berkenaan tidak bekerja seperti ‘business as usual’ tetapi lebih cekap mengurus persepsi.
Isu kepadatan kelas di sekolah itu sebelum ini dibangkitkan pengguna media sosial untuk keselesaan pelajar. – Bernama









