KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan kekangan masa petugas barisan hadapan yang sibuk ‘berperang’ dengan Covid-19, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil inisiatif menceriakan mereka melalui sumbangan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pengarah FAMA Terengganu Che Ghani Che Wan berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan telah diagihkan secara berperingkat di lima lokasi bermula 22 Jun lepas melibatkan 420 kilogram buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai lebih RM2,500.
âHari ini, FAMA Terengganu menyampaikan sumbangan kepada 110 petugas barisan depan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering,â katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, sebelum ini, sumbangan telah disampaikan ke Hospital Hulu Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu; pusat pemberian vaksin (PPV) Gong Gemuntong di Besut dan petugas keselamatan di sekatan jalan raya (SJR) sekitar Kuala Terengganu.
Antara barang yang disumbangkan ialah labu manis, keledek, bendi, cili merah, tomato, timun, kobis, pisang, bihun dan air mineral.
Dalam perkembangan lain, Che Ghani berkata harga durian di Terengganu dijangka lebih murah pada pertengahan Ogos kerana dianggarkan akan terdapat lebih 7,080 ribu metrik tan longgokan durian kampung dari pekebun Terengganu.
âKetika ini, durian yang dipasarkan di Terengganu adalah dari negeri luar termasuk Johor dan Pahang. Harganya sedikit mahal kerana kos pengangkutan, namun sebaik sahaja durian Terengganu luruh, harganya akan lebih murah…kita dimaklumkan harga di kebun ialah antara RM4 hingga RM5 sekilo,â katanya.
Selain itu, beliau berkata Fama Terengganu telah mengeluarkan 500 surat pengesahan kepada pekebun, peraih dan individu yang terlibat dengan aktiviti rantaian pembekalan serta pemasaran keperluan di negeri ini bagi tempoh 1 Jun hingga 13 Julai lepas.








