TUARAN: Setelah pelbagai usaha penerangan dan penjelasan dilakukan dalam kalangan masyarakat luar bandar di Sabah, kesedaran mengenai kepentingan vaksin Covid-19 kini semakin tinggi, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli itu berkata ia dapat dilihat menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di kawasan luar bandar yang mendapat sambutan amat menggalakkan apabila ramai penduduk hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Beliau berkata isu vaksinasi penduduk di kawasan luar bandar di Sabah pada masa ini bukan lagi mengenai kesedaran sebaliknya lebih kepada memastikan proses vaksinasi di kawasan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
âSebelum ini sesuatu yang berikan kita tekanan kerana kefahaman (tentang vaksin Covid-19) itu tidak wujud tetapi setelah diberi kefahaman melalui pelbagai platform antaranya bersemuka dan media sosial, kelihatan semangat mereka (dapatkan vaksin) mendahului daripada bekalan (vaksin) yang ada.
âIni sangat baik, justeru, saya berharap bekalan vaksin ini diperoleh seperti kita rancangkan, pemberian vaksin berjalan lancar setakat ini malah ada perancangan untuk melaksanakan satu lagi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Tamparuli,â katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Kampung Bunga Tenghilan, Tamparuli di sini dengan program selama dua hari bermula hari ini menyasarkan pemberian kira-kira 1,800 dos vaksin Covid-19 untuk penduduk.
Tamparuli adalah sebuah kawasan luar bandar dalam daerah Tuaran di Pantai Barat Sabah, terletak kira-kira 36 kilometer dari Kota Kinabalu didiami majoriti etnik Kadazan-Dusun dan terkenal dengan jambatan gantung terpanjang di Sabah yang dikenali ramai menerusi lagu Jambatan Tamparuli.
Sementara itu, warga emas Pumpuan Dirim, 82, berkata dia membuat keputusan sendiri untuk menerima vaksin pada program itu kerana faham vaksin dapat melindungi dirinya, keluarga dan komuniti daripada bahaya dibawa pandemik Covid-19.
âTiada rasa apa-apa dijarum (dicucuk vaksin) baik sahaja, anak pada mulanya tanya saya juga mahu dijarum (dicucuk) atau tidak, dan saya mahu sendiri, jadi hari ini anak saya bawa…jangan takut dijarum ini, baik sahaja kita ini, mahu bagi sihat kita ini,â katanya dari Kampung Nelapai di sini.
Peniaga pakaian bundle Syarifah Delilah Jaibin, 40, berkata dia sememangnya berdepan dengan pelbagai cerita dan berita palsu mengenai vaksin Covid-19, bagaimanapun, keyakinannya mengenai vaksin Covid-19 tinggi setelah melihat mereka yang diberikan vaksin dalam keadaan sihat serta baik.
âSebelum ini memang sudah diberitahu buat persediaan untuk ambil vaksin seperti pastikan perut tidak kosong dan ambil ubat dahulu jika perlu, jadi saya sudah lakukan persediaan semuanya…petugas sini amat bagus, beri maklumat dan jaga kita dengan baik, diharap kita dapat teruskan program seperti ini,â katanya. -Bernama









