Perodua bakal melancarkan model EV pertamanya tidak lama lagi, mencerminkan komitmen negara terhadap teknologi hijau dan mobiliti mampan.
KUALA LUMPUR: Pembangunan kenderaan elektrik Perodua akan mengukuhkan keupayaan industri automotif negara serta mencerminkan komitmen Malaysia terhadap teknologi hijau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu turut menunjukkan komitmen terhadap penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Beliau juga menekankan penawaran produk berpatutan dengan impak sosial tinggi.
“Hari ini berpeluang meninjau operasi serta bertemu tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaan Perodua di Sungai Choh, Rawang, Selangor,” katanya menerusi hantaran di X.
Dalam taklimat, Anwar turut diberi penerangan mengenai prestasi semasa dan perancangan pelancaran model EV pertama Perodua.
Beliau berkata usaha ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kemajuan berpaksikan nilai mampan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.
“Inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan pilihan berbeza, tetapi dua sisi dalam satu aspirasi negara MADANI,” tegasnya.
Anwar yakin Perodua akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem automotif negara.
Beliau percaya syarikat itu akan memacu Malaysia ke arah masa depan mobiliti yang lebih lestari, berdaya cipta dan berjiwa rakyat. – Bernama






