KUALA LUMPUR: Penambahan aspek keupayaan anggota, persenjataan dan kelengkapan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran menjadi keutamaan menerusi pembentangan Belanjawan 2021 bagi memenuhi keperluan jaminan keselamatan negara.
Penganalisis Keselamatan dan Pertahanan, Datuk Dr Ruhanie Ahmad berkata ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM mempunyai kepentingan saling berkait antara satu sama lain melibatkan kesemua aspek berkenaan.
Beliau berkata dalam erti kata lain keupayaan keanggotaan, persenjataan dan kelengkapan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah sama pentingya denga Tentera Darat Malaysia (TDM) serta Cawangan Keselamatan Siber ATM seluruhnya.
âDalam konteks ini perlu ditegaskan Malaysia merupakan negara maritim dengan susur galur kebenuannya, lantas keutamaan pertahanan dan keselamatan Malaysia berasaskan hakikat wajar diberi keutaam semua pihak,â katanya kepada Bernama.
Ruhanie berkata aspek yang sama melibatkan TUDM bagi mempertahankan ruang angkasa negara juga mempunyai kepentingan sama terhadap keperluan keanggotaan, kelengkapan dan persenjataan TLDM dalam mempertahankan pantai yang panjang serta perairan negara yang luas.
âKeperluan keanggotaan, kelengkapan dan persenjataan TDM juga sama pentingnya dalam mempertahankan sempadan darat negara daripada dibolosi migran, anasir jenayah atau pencari suaka politik daripada negara jiran yang kian meningkat dan kerap kejadiannya.
âJusteru itu, keupayaan ketiga-tiga cabang ATM ini perlu dipertingkatkan serta diselaraskan bersama bagi mengukuhkan lagi pertahanan negara,â katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2021 juga perlu mengambil kira perkembangan semasa dalam mematahkan jangkitan dan penularan wabak Covid-19 di mana peranan dan keterlibatan anggota ATM adalah sama pentingnya di serata negara.
âSehubungan itu, diharapkan kerajaan dalam masa sama diharap dapat memberikan perhatian terhadap keperluan membangunkan industri pertahanan negara sebagai satu daripada paksi kepada pembangunan perindustrian Malaysia seluruhnya.
âHakikat ini, yang digariskan secara dasarnya dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP), wajar diberikan iltizam politik untuk memperolehi sumber kewangannya,â katanya.
Sementara itu, Penganalisis Pertahanan Mohd Mursyid Al-Hafiz berkata belanjawan sejak tahun kebelakangan dilihat kurang memberi penekanan terhadap aspek keselamatan negara membabitkan ATM.
Beliau berkata jika ada ianya datang dalam kadar yang sedikit membabitkan perolehan senjata, dan kelengkapan pasukan keselamatan itu.
âKebanyakan belanjawan berkenaan disalurkan kepada sudut kesihatan dan perubatan dalam negara. Namun secara amnya bukan tidak ada peruntukan tapi ia datang bukan dalam jumlah yang besar,â katanya.
Menurut Mohd Mursyid , menyedari akan faktor harga yang tinggi perlu dibayar kerajaan bagi memantapkan lagi pertahanan negara dengan mengaplikasikan kekuatan ketiga-tiga cabang ATM beliau berkata kerajaan sebaliknya boleh mempertimbangkan cadangan berikut.
âDengan keadaan ekonomi tidak stabil ini amat mudah difahami bahawa agak sukar untuk memperolehi aset baharu namun usaha itu seharusnya beralih kepada ATM dibekalkan dengan kapal-kapal kecil khususnya buat TLDM bagi membuat rondaan di sekitar kawasan laut negara.
âIa bukannya berfungsi untuk berperang sebaliknya menunjukkan tanda keberadaan aset ketenteraan negara dalam menjaga perairan negara daripada dicerobohi,â katanya. â Bernama









